Kuala Lumpur: Selepas sekian lama terlindung di sebalik jerebu, langit Kuala Lumpur yang kembali cerah membawa keterujaan kepada warga maya apabila pemandangan di ibu negara, termasuk kawasan tanah tinggi di kejauhan dapat dinikmati semula dengan lebih jelas.

Tinjauan Bernama dalam platform media sosial Threads mendapati pengguna berkongsi rasa syukur dan teruja melihat perubahan keadaan langit hari ini, dengan ada yang menyedari perbezaan berkenaan sebaik sahaja melihat ke luar rumah.

Seorang pengguna Threads, @tkletchumy berkongsi pengalaman apabila anak kecilnya menyedari keadaan jerebu yang semakin reda sebelum dia sendiri melihat perubahan ketara langit Kuala Lumpur dari balkoni kediamannya.