Kuala Lumpur: Penyanyi, Shahir Zawawi, 38, mahu terus aktif dalam industri hiburan bagi tempoh dua tahun sebelum menyasarkan untuk memperlahankan karier seni pada usia 40 tahun.
Menurut Shahir, keputusan itu dirancang bukan kerana merajuk atau semakin dilupakan, tetapi atas rasa tiba masa untuk meraikan penggiat baharu yang muda dan berbakat.
"Alhamdulillah, buat masa ini saya masih aktif menyanyi. Sebenarnya saya sudah menyasarkan pada usia 40 tahun, iaitu dua tahun lagi untuk saya betul-betul berjuang sebelum 'slow down'.
"Saya tidak merajuk dengan industri, tetapi sebab saya rasa mungkin bukan zaman saya lagi. Saya juga melihat lahirnya ramai adik-adik baharu, jadi saya mahu meraikan mereka.








