LONDON: Penganjur Ballon d'Or mencetuskan kekeliruan apabila tersilap menyiarkan artikel yang menamakan tiga pemain berbeza sebagai pemenang anugerah lelaki 2026, beberapa jam sebelum majlis rasmi berlangsung di London.
Penyerang Bayern Munich, Harry Kane, bintang Real Madrid, Kylian Mbappe dan pemain sayap Barcelona, Lamine Yamal, masing-masing dinamakan sebagai pemenang menerusi artikel berasingan yang disiarkan seketika di laman web rasmi Ballon d'Or sebelum dipadamkan.
Kesilapan itu berlaku kira-kira dua setengah jam sebelum majlis yang dijadual berlangsung di London Palladium, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai pemain yang bakal membawa pulang anugerah individu paling berprestij dalam bola sepak itu.









