KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan tambahan RM150 juta bagi menyiapkan tiga tapak Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) membabitkan 554 unit rumah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata projek berkenaan membabitkan masing-masing 200 unit rumah bagi FELDA Bukit Aping Timur dan FELDA Pasak di Johor serta 154 unit bagiFELDA Kerteh 5, Terengganu yang diumumkan beliau pada Hari Peneroka FELDA 7 Julai lalu.
Bagi projek Rumah Pahang di FELDA Jengka 11, beliau berkata, projek terbabit sudah diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri Pahang, khususnya melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP).
"Untuk makluman, status kemajuan projek pada tahun 2025 adalah sebanyak 75 peratus, manakala pada masa ini projek terbabit berada pada peringkat penyelenggaraan di bawah pihak yang bertanggungjawab," kata beliau dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman web Parlimen.









