BELANJAWAN 2027 mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh perlindungan sosial, menjaga kebajikan isi rumah dan merangsang pembangunan ekonomi lebih inklusif.

Pelbagai cadangan bantuan merangkumi penjawat awam, pesara, pelajar, orang kurang upaya (OKU), petani, nelayan, pekerja gig dan golongan berpendapatan rendah. Langkah ini memperlihatkan usaha kerajaan menangani tekanan kos sara hidup serta melindungi kuasa beli rakyat.

Namun, keberkesanan belanjawan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah bantuan atau banyaknya program diumumkan semata-mata. Ukuran sebenar ialah sejauh mana inisiatif berkenaan meningkatkan taraf hidup, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan mengurangkan ketidaksamaan ekonomi.