Remaja perlu dididik dengan kemahiran mengurus emosi dan menerima penolakan cinta bagi mengelakkan kekecewaan bertukar menjadi tindakan agresif, termasuk mengugut atau mencederakan orang lain.

Isu cinta monyet di bangku sekolah bukan perkara baharu, namun perkembangan media sosial dan pengaruh persekitaran menjadikan cabaran percintaan remaja hari ini semakin kompleks.

Pada pandangan penulis, sekolah bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah perlu menjadi ruang membentuk ketahanan emosi supaya pelajar memahami bahawa cinta tidak semestinya berakhir dengan penyatuan.

Tragedi yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor apabila seorang pelajar perempuan tingkatan empat ditemukan meninggal dunia pada 3 Oktober lalu, sepatutnya membuka mata semua pihak tentang seriusnya isu ini.