SELEPAS kembali bergandingan pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark minggu lalu, beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak menunggu lama apabila berjaya menyambar gelaran Terbuka Perancis.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Arena Grand Paris malam kelmarin, pasangan No.11 dunia itu mencatat kemenangan 13-21, 21-15, 21-7 ke atas rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Lebih manis, kejuaraan tersebut merupakan gelaran pertama buat beregu yang diberi julukan ManTee itu dalam saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan status Super 750.
Wei Chong berkata, dia dan Kai Wun pada awalnya tidak meletakkan sebarang sasaran dalam beberapa kejohanan terbaharu, termasuk Terbuka Perancis kerana dia baru sahaja pulih daripada kecederaan lutut.








