KUALA LUMPUR – Samalaju, Sarawak mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, iaitu 152, manakala 44 kawasan merekodkan bacaan pada tahap sederhana setakat 9 pagi ini.

Menurut Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Bintulu, Sarawak mencatat bacaan IPU tertinggi dalam kategori sederhana, iaitu 94, diikuti Serian (90) dan Sibu (87) serta Batu Muda di Kuala Lumpur (84).

IPU sederhana turut direkodkan di Sri Aman, Sarawak dengan bacaan 83, manakala Kluang, Johor dan Samarahan, Sarawak masing-masing mencatat bacaan 82.

Sementara itu, 23 kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap baik dengan Tanah Merah, Kelantan melaporkan bacaan tertinggi, iaitu 49, diikuti Bandaraya Melaka (48) dan Kuala Selangor, Selangor (47).