KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Eco-Shop Marketing Bhd bagi suku pertama tahun kewangan 2027 berakhir pada 31 Ogos 2026 meningkat sebanyak 7.6 peratus kepada RM63.19 juta, daripada RM58.75 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun kewangan 2026.

Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini Eco-Shop memaklumkan hasil turut melonjak sebanyak 16 peratus kepada RM793.67 juta daripada RM684.33 juta.

Menurut kumpulan tersebut, keputusan yang bertambah baik itu didorong oleh pengembangan berterusan rangkaian kedainya dengan penambahan sebanyak 15 kedai baharu sepanjang suku berkenaan.

Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.61 sen sesaham biasa, berjumlah kira-kira RM35.1 juta, yang akan dibayar pada 27 November 2026.