Zurich: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akan mengadakan siri lawatan ke bandar calon tuan rumah di Sepanyol, Portugal dan Maghribi pada November dan Disember ini sebagai sebahagian daripada proses pemilihan venue Piala Dunia 2030.

Badan induk bola sepak dunia itu berkata, delegasi FIFA akan melawat bandar dan stadium yang dicalonkan di ketiga-tiga negara berkenaan bagi menilai kesesuaian mereka untuk menganjurkan perlawanan.

FIFA masih belum mengesahkan venue yang akan dipilih, termasuk lokasi final Piala Dunia, dengan Sepanyol dan Maghribi dilaporkan bersaing untuk menjadi tuan rumah perlawanan terbesar bola sepak dunia itu.

Lawatan di Maghribi dijadualkan meliputi Agadir, Casablanca, Fez, Marrakech, Rabat dan Tangier; Lisbon serta Porto di Portugal; manakala di Sepanyol membabitkan Barcelona, Bilbao, Las Palmas, Madrid, San Sebastian, Seville dan Zaragoza.