GUA MUSANG – Seorang remaja maut akibat tercampak ke atas jalan raya selepas motosikal yang dia tunggang merempuh seekor lembu di Kilometer 11, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Batu 5, Renok Baru di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu, mangsa, Mohamad Amirul Syafiq Mohd. Rusli, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala lembu yang dirempuhnya turut ditemukan mati.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai sebelum merempuh lembu yang berada di atas jalan.

Katanya, akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan raya manakala motosikalnya terseret kira-kira 80 meter dari lokasi dia terjatuh.