Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata setakat 31 Ogos, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi memenuhi hutang dan komitmen berkaitan 1MDB, merangkumi prinsipal, faedah serta kos lain. (Gambar Reuters)KUALA LUMPUR: Kerajaan belum menetapkan tahun sasaran untuk menyelesaikan semua tuntutan dan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB, kata Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata 2039 merupakan tahun matang prinsipal sukuk Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berkaitan 1MDB yang dijamin kerajaan.

“Tahun 2039 merupakan tempoh matang prinsipal sukuk IMTN mengikut jadual semasa. Dalam tempoh tersebut, kerajaan meneruskan usaha untuk mendapatkan semula dana dan aset 1MDB.

“Tahun matang sukuk dan tempoh penyelesaian tuntutan merupakan perkara yang berbeza,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.