KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi menegaskan, beliau lebih memahami kemampuan dan keperluan pemain kendaliannya berbanding netizen yang lantang mengkritik keputusan memecahkan gandingan beregu lelaki negara sebelum ini.

Herry berkata, keputusan melakukan percubaan dengan menggandingkan semula pemain tertentu bukan bermaksud beliau mahu memisahkan pasangan sedia ada secara kekal, sebaliknya sebahagian daripada perancangan untuk mencari kombinasi terbaik.

Menurutnya, beliau yang bekerja rapat dengan pemain setiap hari selama hampir dua tahun, lebih mengetahui perkembangan dan kemampuan mereka, justeru setiap keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan profesional demi kepentingan pasukan negara.