SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tidak bercadang mengemukakan senarai nama baharu bagi mengisi jawatan EXCO kerajaan negeri sehingga kes pembatalan pelantikan senarai EXCO sebelum ini diselesaikan di mahkamah.

Mengenai dakwaan beberapa bekas EXCO belum memulangkan kenderaan rasmi walaupun arahan mengenai perkara itu sudah dikeluarkan sebaik pembatalan pelantikan mereka, beliau berkata, perkara itu di luar pengetahuannya.

"Saya tak tahu, saya jaga kereta saya saja," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh.

Ditemui pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Sekolah, Gedung Lalang, Ampangan, di sini hari ini, beliau berkata, pentadbiran kerajaan negeri setakat ini kekal tanpa EXCO.