Kuala Lumpur: Kerajaan sedia mempertimbangkan kesesuaian penggunaan mekanisme perundangan antarabangsa yang bersesuaian bagi membolehkan tuntutan pampasan dan ganti rugi susulan pencemaran jerebu rentas sempadan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu boleh diteliti memandangkan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ketika ini tidak mempunyai peruntukan khusus berkaitan tuntutan pampasan antara negara.

"Bagaimanapun, kerajaan terbuka untuk meneliti kesesuaian mekanisme perundangan lain yang tertakluk kepada asas undang-undang di peringkat antarabangsa.

"Dalam aspek ini, kajian menyeluruh terhadap kerugian ekonomi akibat jerebu termasuk kesannya terhadap kesihatan awam, produktiviti dan aktiviti ekonomi adalah penting sebagai asas bagi pertimbangan dasar serta tindakan susulan," katanya.