KANGAR: Pembangunan Pelabuhan Sanglang mencerminkan komitmen berterusan memperkukuhkan sektor maritim, perdagangan, logistik dan pelaburan di kawasan utara Semenanjung Malaysia.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, kedudukan geografi negeri ini yang bersempadan dengan Thailand memberikan kelebihan dalam memperluas hubungan perdagangan rentas sempadan serta meneroka peluang pasaran lebih besar di peringkat domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata, penyediaan kemudahan pelabuhan yang cekap dan berdaya saing dijangka dapat meningkatkan keyakinan pelabur, merancakkan aktiviti perdagangan serta membuka peluang kepada perkembangan perniagaan dan industri baharu.

“Selain itu, Pelabuhan Sanglang turut berpotensi menyokong pelbagai aktiviti maritim melalui perancangan kemudahan yang merangkumi terminal pelbagai guna, terminal Roll-on/Roll-off (RORO), pengendalian kargo am, kemudahan perikanan dan aktiviti berkaitan tenaga,” katanya pada Majlis Peletakan Batu Asas Pembangunan Pelabuhan Sanglang, di sini, hari ini.