MEMBESAR dalam keluarga yang melalui perubahan besar tidak pernah mematahkan semangat Nadia Farhani Mohd Indra Hafidz, sebaliknya menjadi kekuatan untuk membina kehidupan lebih baik dan berbakti kepada masyarakat.

Pada usia 23 tahun, anak sulung daripada lima beradik itu bukan sahaja membina kerjaya profesional di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, malah aktif bersama Persatuan Pelancongan Lahad Datu untuk memperkasakan pelancongan berasaskan komuniti (CoBT).

Bagi Nadia, pengalaman hidup mengajarnya erti tanggungjawab sejak kecil, apatah lagi selepas ibu bapanya berpisah pada 2015 dan beliau dibesarkan oleh nenek serta bapa tunggal.

Beliau mula bekerja sambilan pada usia 16 tahun sebelum menamatkan pengajian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segama, Lahad Datu, Sabah.