KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memulakan pelaksanaan pengebumian jenazah secara kubur bertingkat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS), Kepong, bagi mengoptimumkan penggunaan ruang tanah perkuburan yang semakin terhad.
Projek perintis itu dilaksanakan menerusi Bahagian Pengurusan Masjid dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Dakwah dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur, khusus bagi jenazah yang tidak mempunyai waris.
JAWI memaklumkan Inisiatif itu turut memperkenalkan penggunaan mesin takal penurun jenazah yang dibangunkan JKR Kuala Lumpur bagi memudahkan proses menurunkan jenazah ke kedalaman lapan kaki.
"Selain itu bagi memastikan struktur keselamatan, penghadang runtuhan tanah (trench box) juga digunakan dalam proses pengebumian secara kubur bertingkat," katanya dalam kenyataan.








