PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas pelanggaran tren di Sepanyol.
Perdana Menteri berkata, Malaysia turut bersimpati dengan rakyat Sepanyol yang berdepan detik sukar susulan tragedi berkenaan, selain mendoakan agar mangsa yang cedera segera pulih.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota pasukan kecemasan dan semua pihak yang bertungkus-lumus menjalankan operasi di lokasi kejadian.
“Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez, kerajaan dan rakyat negara itu, khususnya keluarga mangsa yang terkorban,” katanya menerusi hantaran di Facebook.









