Istanbul: Menteri-menteri luar negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Ahad menzahirkan solidariti kepada Arab Saudi susulan serangan oleh kumpulan Houthi dan menggesa dialog bagi menyelesaikan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran, lapor Anadolu Ajansi.

"Majlis menegaskan solidariti penuh negara anggota GCC kepada kerajaan Arab Saudi, pendirian bersama mereka dalam menyokong negara itu serta sokongan terhadap segala langkah yang diambil Arab Saudi bagi mempertahankan kedaulatan serta melindungi keselamatan dan kepentingannya," menurut kenyataan akhir yang dikeluarkan pada sesi ke-168 Majlis Menteri-Menteri GCC di Manama, Bahrain pada Ahad.

GCC turut menzahirkan sokongan terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Yaman serta menggesa penyelesaian politik berasaskan dialog, Inisiatif GCC, hasil Persidangan Dialog Kebangsaan dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.