LAMA berkelana, rupa-rupanya sudah 30 tahun kumpulan Hijjaz menyemarakkan irama nasyid tanah air dengan alunan merdu mengisi rohani semua banyak khalayak.
Lagu-lagu mereka kebanyakannya masih menjadi siulan dan santapan jiwa buat masyarakat hingga kini. Sempena ulang tahun ke-30 penubuhan mereka, Hijjaz menghadiahkan sebuah persembahan istimewa menerusi Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah yang berlangsung meriah pada 16 dan 17 Oktober di Istana Budaya.
Bukan sahaja membawa peminat mengimbau zaman nostalgia, malah Hijjaz turut menyusuri perjalanan seni yang mewarnai industri sejak tahun 1997.
Tepat pukul 8.30 malam, mereka membuka pentas dengan alunan Asmaul Husna dan diikuti dengan tayangan montaj dalam bentuk AI (kecerdasan buatan).









