SEJAK mengambil alih pentadbiran negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan cabaran besar untuk memulihkan keyakinan selepas beberapa tahun Malaysia melalui ketidaktentuan politik dan perubahan kerajaan.
Dalam suasana sedemikian, tugas pertama kerajaan bukan sahaja menggubal dasar baharu, tetapi membina semula keyakinan Malaysia adalah negara stabil, boleh diramal dan serius terhadap pembaharuan ekonomi.
Kestabilan politik mempunyai kesan langsung terhadap pelaburan. Pelabur menilai sama ada sesebuah negara mempunyai kerajaan mampu bertahan, dasar konsisten, institusi berfungsi dan sistem pentadbiran cekap.
Pelaburan besar, khususnya dalam sektor teknologi tinggi, semikonduktor, pusat data, tenaga hijau dan pembuatan bernilai tinggi, memerlukan perancangan jangka panjang.









