RANAU: Hospital Ranau kini beroperasi dengan sembilan pegawai perubatan termasuk pengarah hospital, susulan kekurangan doktor selepas 11 daripada 19 pegawai perubatan sedia ada berpindah keluar menerusi Urusan Lantikan Tetap Fasa 2 pada 28 September lalu.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah dalam kenyataannya, memaklumkan walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengenal pasti tujuh pegawai pengganti dari luar Sabah, hanya seorang dilaporkan melapor diri untuk bertugas di hospital berkenaan.

Situasi itu mencerminkan cabaran kekurangan pegawai perubatan yang bukan sahaja dihadapi Hospital Ranau, malah turut membabitkan sektor kesihatan di seluruh Sabah.

Menurut JKN Sabah, negeri ini kini berdepan kekurangan kira-kira 245 pegawai perubatan susulan pelaksanaan Urusan Lantikan Tetap berkenaan.