SHAH ALAM – Impian ke Tanah Suci tidak lagi sekadar angan-angan buat 10 individu bertuah apabila penyanyi, Hafiz Hamidun sedia menaja perjalanan umrah mereka.

Lebih menarik, tajaan itu terbuka kepada umat Islam yang kurang berkemampuan dan hanya perlu berkongsi kisah serta alasan mereka mahu menunaikan ibadah berkenaan.

Hafiz berkata, inisiatif tersebut merupakan caranya berkongsi rezeki selain membalas sokongan orang ramai yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.

Katanya, mereka yang berminat boleh menghantar video dan menulis komen mengenai sebab ingin mengerjakan umrah menerusi akaun media sosial miliknya atau Vacasia Tours & Travels Sdn. Bhd. (Vacasia).