SEPANG: Pelumba CFMOTO RCB Aspar Team, Daniel Holgado mengungguli sesi kelayakan Moto2 dan sekali gus, bakal mengetuai perlumbaan sebenar pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, di sini, esok.

Memacu jentera Kalex, pelumba kelahiran Sepanyol itu mencatat masa sepusingan 2 minit 02.875 saat (s) dalam aksi kelayakan 2 (Q2), hari ini.

Angel Piqueras dari pasukan QJMotor-MSi pula berada di kedudukan kedua dengan lakaran masa 2:03.416s, manakala, pelumba BLU CRU Pramac Yamaha Moto2, Izan Guevara menghuni tempat ketiga menerusi catatan masa 2:03.486s.

Pelumba CFMOTO RCB Aspar Team, David Alonso melengkapkan aksi kelayakan itu di kedudukan keempat (2:03.491s), manakala, tempat kelima menjadi milik Alonso Lopez dari pasukan ITALJET Gresini Moto2 (2:03.516s).