Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata Zetrix AI Bhd menyerahkan cek berjumlah RM231 juta sebelum ini, tetapi bank memaklumkan ia tidak dapat diproses atas arahan syarikat terbabit.

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook menjelaskan tunggakan RM314 juta yang gagal diserahkan Zetrix AI Bhd kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan kutipan pembaharuan cukai jalan, lesen memandu dan saman trafik hanya bermula Mei tahun ini, bukan 2023.

Beliau berkata, tunggakan itu hanya bermula 19 Mei lalu hingga 30 Sept ini.

Jelasnya, Kementerian Pengangkutan dan JPJ sudah mengambil langkah mendapatkan semula kutipan berkenaan, termasuk mengadakan empat sesi libat urus sejak Mei lalu bersama semua pihak berkepentingan, termasuk Kementerian Kewangan serta mengeluarkan 35 notis peringatan kepada syarikat.