SEPANG – Kemarau lebih setahun tanpa petak utama akhirnya berakhir buat Alex Marquez apabila pelumba Gresini Racing itu mencipta kejutan dengan menewaskan abangnya, Marc Marquez pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Kejayaan itu menamatkan penantian Alex sejak kali terakhir meraih petak utama pada GP Catalunya tahun lalu selepas mencatat masa terpantas satu minit 56.493 saat (s) dalam sesi Kelayakan 2 (Q2), sekali gus kembali menguasai petak pertama selepas 420 hari.

Lebih manis, pelumba Sepanyol itu mengetepikan pelumba Ducati, Marquez dengan kelebihan tipis 0.070s, manakala pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Pedro Acosta melengkapkan barisan hadapan di kedudukan ketiga dengan catatan 1:56.577s.