AMPANG JAYA: Dua pemandu maut dan seorang penumpang cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta di Kilometer 23, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran susur ke Bukit Antarabangsa di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, berkata siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Taman Melawati menghala ke Cheras.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan.

"Kereta berkenaan kemudian melanggar bahagian hadapan Toyota Vellfire yang datang dari arah bertentangan," katanya kepada media di sini, hari ini.