JOHOR BAHRU: Polis sudah mengambil tindakan terhadap kes bayi perempuan berusia lapan bulan yang cedera di badan disyaki akibat deraan pengasuhnya dalam kejadian dekat Taman Perling di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor, berkata suspek wanita tempatan berusia 36 tahun itu sudah ditahan pada 19 September lalu sebelum dihadapkan ke mahkamah Johor Bahru.
Beliau berkata, kejadian itu mula disedari ibu mangsa yang berusia 35 tahun pada 18 September lalu, kira-kira jam 6 petang, selepas melihat kesan lebam pada beberapa bahagian badan bayinya selepas diambil suaminya dari rumah pengasuh terbabit.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, menahan suspek keesokannya pada jam 1.30 petang, di kawasan Taman Perling bersama rampasan sebatang rotan.









