KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang masih berada di Yaman dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan diri dan membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara itu secara sukarela, sementara penerbangan komersial masih tersedia, memandangkan keadaan keselamatan yang semakin tidak menentu.
Kedutaan Besar Malaysia (KBM) di Muscat, Oman menerusi notis yang dimuat naik di Facebook memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi perkembangan keselamatan di Yaman susulan peningkatan ketegangan dan konflik bersenjata yang berterusan di beberapa kawasan negara itu.
“Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya merancang perjalanan keluar dengan teliti termasuk memastikan laluan selamat, pengangkutan tersedia dan dokumen perjalanan lengkap serta menyemak status penerbangan masing-masing,” menurut kedutaan itu.









