DAP menggesa minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak didedahkan kepada umum.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata pendedahan itu tertakluk kepada budi bicara Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Itu memang pendirian kita. Kita nak minit mesyuarat itu didedahkan. Tapi, ia tertakluk kepada budi bicara AGC," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan di Bangsar, hari ini.

Ditanya sama ada DAP sudah membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Loke yang juga menteri pengangkutan berkata parti itu sudah menyampaikan hasrat tersebut kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.