PETALING JAYA: DAP sudah mengemukakan permohonan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didedahkan kepada umum.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, permohonan itu merupakan pendirian parti berkenaan, namun sebarang keputusan untuk mendedahkan dokumen tersebut perlu melalui prosedur undang-undang yang ditetapkan.
“Memang kita sudah menyatakan hasrat ini kepada Perdana Menteri tetapi perlu ada prosedur untuk menyahklasifikasi minit berkenaan. Jadi sama ada bila didedahkan dan sebagainya, itu terpulang kepada pihak Peguam Negara.
“Itu memang pendirian kita. Kita harap keputusan atau minit itu dapat diumumkan tetapi ia tertakluk kepada pendirian Peguam Negara,” katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.









