KUALA LUMPUR: DAP sudah memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung keputusan pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dinyahklasifikasikan untuk pengetahuan umum.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata langkah mendedahkan dokumen berkenaan adalah pendirian parti itu, namun tetap tertakluk kepada pertimbangan serta prosedur undang-undang di bawah Peguam Negara.
"Memang kita sudah menyatakan hasrat ini kepada Perdana Menteri, tetapi perlu ada prosedur untuk menyahklasifikasi minit berkenaan. Jadi sama ada bila didedahkan dan sebagainya, itu terpulang kepada pihak Peguam Negara.
"Itu memang pendirian kita. Kita harap keputusan atau minit itu dapat diumumkan, tetapi ia tertakluk kepada pendirian Peguam Negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.








