PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli tetap berpuas hati dengan persembahannya pada Grand Prix (GP) Malaysia meskipun terlepas peluang menaiki podium selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Memulakan perlumbaan dari petak ketiga, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mempamerkan aksi kompetitif apabila memberikan saingan sengit kepada kelompok hadapan sejak awal perlumbaan

Percubaannya untuk melakukan pintasan di selekoh terakhir menyebabkan jenteranya sedikit tersasar, sekali gus membuka ruang kepada pelumba Red Bull KTM Ajo Alvaro Carpe untuk memintasnya dan meraih tempat ketiga dengan kelebihan 0.226 saat.

Anak jati Terengganu itu mengakui sudah memberikan segala-galanya, malah terus berjuang memburu kedudukan podium sehingga ke penghujung saingan sebelum hasratnya tidak kesampaian dan perlumbaan tersebut dimenangi pelumba Sepanyol, Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team).