KANGAR: Seramai 150 pesawah dari Kelompok Kampung Ujung Bukit, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bintong di sini, merayu kerajaan menyemak semula harga lantai belian padi daripada RM1,500 kepada RM1,800 satu tan bagi meringankan beban hutang mereka.

Wakil pesawah, Kamarul Nizam Kassim, 44, berkata kos pengurusan sawah bagi kawasan seluas 82 hektar (285 relung) di situ, meningkat mendadak berikutan kenaikan harga racun dan caj perkhidmatan jentera, sedangkan hasil tuaian musim ini merosot teruk.

Katanya, faktor cuaca dan masalah bekalan air menyebabkan jadual penanaman lewat sehingga sebahagian pesawah hanya memperoleh hasil kira-kira 500 kilogram (kg) serelung dengan pulangan tidak sampai RM1,000, berbanding purata dua tan pada musim kebiasaan.