PETALING JAYA: Hampir dua dekad menyepi daripada pentas teater, Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) kembali menghidupkan sebuah legenda cinta yang tidak pernah pudar ditelan zaman.
Mengangkat kisah percintaan, pengorbanan dan kesetiaan yang teruji, pementasan terbitan Enfiniti Productions itu bukan sekadar menghidangkan naratif epik, malah menyatukan kekuatan lakonan, vokal, muzik dan visual dalam sebuah persembahan yang memikat.
Pementasan arahan dan terbitan Puan Sri Tiara Jacquelina itu membawa penonton menyelami kisah legenda Melayu menerusi garapan penceritaan yang tersusun, sekali gus menjadikan perjalanan kisahnya mudah diikuti meskipun sarat dengan konflik dan pertentangan emosi.
Keistimewaan PGLM terletak pada kekuatan elemen muzikal yang menjadi nadi penceritaan. Lagu bukan sekadar disisipkan sebagai hiburan, sebaliknya berperanan memperkukuh emosi, membina suasana dan menghubungkan setiap babak.








