KUALA LUMPUR: CelcomDigi Bhd memeterai perjanjian strategik selama 15 tahun dengan Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd (KTPC) bagi menyediakan infrastruktur ketersambungan gentian optik di Zon Perindustrian Fasa 4A (IZP 4A), Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Kedah.

Kerjasama itu membolehkan CelcomDigi menyediakan infrastruktur gentian optik serta penyelesaian ketersambungan perusahaan bagi menyokong operasi dan usaha pendigitalan syarikat yang beroperasi di zon perindustrian berkenaan.

Menerusi perjanjian itu, CelcomDigi akan menguruskan infrastruktur saluran gentian optik di IZP 4A serta menawarkan pelbagai penyelesaian perusahaan kepada penyewa baharu, termasuk 'Dedicated Internet Access' (DIA), 'Private Leased Lines' (PLL), IPVPN, 'Managed Dense Wavelength Division Multiplexing' (DWDM) dan perkhidmatan 'Managed Fibre'.