KUALA LUMPUR: Google memperuntukkan pelaburan AS$160 juta (RM650 juta) bagi membangunkan infrastruktur perkongsian bekalan air di Negeri Sembilan, seiring pembangunan infrastruktur digital syarikat teknologi global itu di negeri berkenaan yang merangkumi pembinaan kampus pusat data di Port Dickson.

Pelaburan itu membabitkan pembinaan takungan simpanan air luar sungai dan loji rawatan air yang bukan sahaja menyokong operasi pusat data Google pada masa depan, malah meningkatkan kapasiti bekalan air untuk kegunaan masyarakat setempat.

Pembangunan infrastruktur berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), dengan Gamuda Bhd dilantik untuk membina kedua-dua fasiliti berkenaan.