Keputusan peperiksaan yang kurang memuaskan sering membuatkan ibu bapa bimbang, terutama apabila pencapaian anak tidak seperti diharapkan. Ada ibu bapa kecewa melihat gred yang diperoleh, tidak kurang mula mempersoalkan kemampuan anak dalam pelajaran.
Namun, sejauh manakah keputusan peperiksaan benar-benar mencerminkan kebolehan dan potensi seseorang anak?
Pengarah Pusat Pengajaran Pembelajaran Universiti (UTLC), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Siti Noor Ismail, berkata keputusan peperiksaan hanya menggambarkan tahap penguasaan pembelajaran murid pada sesuatu masa, bukannya keseluruhan potensi mereka.
Katanya, setiap anak mempunyai rentak perkembangan berbeza. Ada yang menyerlah sejak kecil, manakala ada sebahagiannya mula menunjukkan kebolehan selepas meningkat remaja, membina keyakinan diri atau mendapat peluang pembelajaran yang sesuai.









