KUALA LUMPUR: PETRONAS menerusi anak syarikat milik penuhnya, PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PETRONAS Carigali) bersama TotalEnergies, Kuwait Foreign Petroleum Exploration Company (KUFPEC) dan PTTEP memeterai beberapa perjanjian pengambilalihan kepentingan (FOA) membabitkan medan gas SK410B Lang Lebah dan B14 di luar pesisir Sarawak.

Perjanjian itu bertujuan menyokong pembangunan sumber gas secara lebih bersepadu bagi kedua-dua medan berkenaan di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) SK410B dan PSC B14.

Selepas penyempurnaan urusan itu, TotalEnergies akan mengambil alih peranan sebagai pengendali bagi kedua-dua medan berkenaan.

Pendekatan pembangunan bersepadu itu dijangka membolehkan penyelarasan lebih baik antara kedua-dua medan, sekali gus mengoptimumkan perancangan infrastruktur, pembangunan kemudahan dan pengkomersialan sumber, selain meningkatkan kecekapan projek serta penciptaan nilai jangka panjang untuk Sarawak dan Malaysia.