KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah proaktif bagi memastikan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak terjejas akibat Monsun Timur Laut (MTL) termasuk melaksanakan Operasi Payung bagi membantu calon di kawasan berisiko banjir menduduki peperiksaan dengan selamat dan lancar.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Datuk Zainal Abas berkata, pelbagai persiapan awal digerakkan bagi memastikan peperiksaan SPM dapat berlangsung mengikut jadual meskipun beberapa kawasan dijangka berdepan banjir sepanjang musim tengkujuh.

Katanya, Operasi Payung yang dilaksanakan setiap tahun akan membantu calon SPM di kawasan terjejas banjir supaya mereka dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selesa dan selamat.