SHAH ALAM: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) diminta mengenal pasti sekolah berisiko banjir bagi memastikan urusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata persediaan bagi mendepani bencana itu dibuat sebaik mungkin memandangkan peralihan Monsun Timur Laut (MTL) bermula 27 Oktober lalu.

"Kita akan dapatkan maklumat berhubung perkara ini. Saya dah minta JPNS kenal pasti lokasi lazim (banjir) supaya kita boleh bersiap sedia ketika musim perlahan MTL ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Simbolik Penyerahan Program Nutrisel dan Mega Nutrisel 2026 di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga meluluskan kira-kira RM800,000 bagi melaksanakan projek segera mengatasi masalah banjir, khususnya sekitar persimpangan I-City, Seksyen 7 dan Taman Rashna, Klang.