Kuala Lumpur: Amalan tatakelola yang baik perlu terus dipertahankan dan sebarang bentuk pencerobohan tanah tanpa kebenaran tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menjejaskan perancangan negara serta kepentingan rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, beliau berkata, aspek penguatkuasaan perlu terus diperkukuh, manakala sebarang isu berkaitan yang dibangkitkan oleh pihak berkepentingan, termasuk badan bukan kerajaan (NGO), perlu ditangani dengan segera agar maklumat tepat dan telus dapat disampaikan secara menyeluruh dan berkesan.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata, beliau menekankan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-83 hari ini.