KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan amalan tatakelola yang baik dipertahankan manakala penguatkuasaan diperkukuh bagi mengekang kegiatan pencerobohan tanah.
Perdana Menteri berkata sebarang bentuk pencerobohan tanah tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menjejaskan perancangan negara serta kepentingan rakyat.
Beliau menegaskan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-83 hari ini.
"Saya tegaskan bahawa amalan tatakelola yang baik perlu terus dipertahankan dan sebarang bentuk pencerobohan tanah tanpa kebenaran tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menjejaskan perancangan negara serta kepentingan rakyat.
"Justeru, aspek penguatkuasaan perlu terus diperkukuh, manakala sebarang isu berkaitan dibangkitkan oleh pihak berkepentingan, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) perlu ditangani dengan segera supaya maklumat yang tepat dan telus dapat disampaikan secara menyeluruh dan berkesan," katanya menerusi hantaran di Facebook usai mesyuarat itu.










