SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan pempengaruh media sosial Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli untuk menggantung pembayaran ganti rugi RM220,000 kepada pendakwah Ebit Lew kerana memfitnah pendakwah itu pada 2023.

Hakim Zuhrina Mohamed Nor memutuskan demikian setelah menolak rayuan yang difailkan Ariz, 40, pada Ogos lepas berhubung keputusan mahkamah terhadap kes saman difailkan Ebit berhubung tujuh kenyataan berbau fitnah melalui audio siar dan klip video diterbitkan Caprice sebelum ini.

Mahkamah juga memerintahkan Caprice membayar kos sebanyak RM2,000.

Pada prosiding itu, Ebit diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Fatin Izyan Mazlan manakala Mohd Rezan Ezra Muhammad Mosinal mewakili pempengaruh itu.