MELAKA: Masalah banjir kilat dan kesesakan lalu lintas antara isu utama yang akan diberi perhatian calon Perikatan Nasional (PN), Rafie Ahmad, jika diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Rafie, 58, yang menetap di Krubong berkata, kedua-dua isu berkenaan sering dibangkitkan penduduk ketika beliau mengadakan tinjauan dan berkempen.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Masjid Al-Rahman, Tanah Merah Krubong dan penyelaras Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu berkata, antara kawasan yang dikenal pasti kerap berdepan masalah banjir kilat ialah persimpangan Cheng, khususnya di sekitar Taman Bukit Cheng dan Cheng Perdana.
Katanya, keadaan muka bumi di kawasan berkenaan yang menerima aliran air dari kedua-dua laluan menyebabkan air bertumpu di kawasan tengah sehingga membentuk kawasan seperti lembah.








