MIRI: Semua aktiviti di sebuah ladang sawit di Kuala Baram di sini dihentikan serta-merta selepas kebocoran gas dari bawah tanah dikesan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kejadian berlaku ketika kerja penggerudian pada kedalaman 28.5 meter, sebelum kebocoran dilaporkan pada 3 Oktober lalu, kira-kira jam 10 pagi.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.54 pagi hari ini sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong digerakkan ke lokasi.

"Pemeriksaan awal mendapati bacaan gas menunjukkan penurunan daripada 10 peratus kepada lima peratus, manakala bacaan gas direkodkan pada 30 peratus LEL (Lower Explosive Limit)," katanya dalam kenyataan hari ini.