MELAKA: Pakatan Harapan (PH) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat dakwaan sogokan dan salah guna premis serta kemudahan kerajaan negeri membabitkan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar.

Ketua Pengarah Kempen PH DUN Rim, Heikarl Edzha Zaini berkata, beberapa gambar telah diserahkan kepada SPR antaranya memaparkan calon BN berada di dalam premis kerajaan ketika kempen pilihan raya berlangsung.

“Kami turut mengemukakan bukti berkaitan pemberian sumbangan kepada penerima.

“Ia termasuk gambar kotak makanan yang dibawa keluar dari premis berkenaan serta sampul yang didakwa diberikan kepada penerima,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan laporan dan bukti di Ibu Pejabat SPR Melaka di sini hari ini.