PETALING JAYA – Mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerjasama Menteri Johor-Singapura (JSCMC) di Singapura semalam menandakan fasa baharu dalam kerjasama dua hala kedua-dua negara, khususnya bagi memperkukuh pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Ia dipengerusikan bersama oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara dan Pengangkutan Singapura, Sun Xueling.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama selepas mesyuarat berkenaan, peralihan daripada Jawatankuasa Bersama Menteri bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) kepada JSCMC mencerminkan skop kerjasama yang semakin luas antara kedua-dua negara.








