Kuala Lumpur: Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU akan bermesyuarat malam ini, antara lain bagi memuktamadkan keputusan mengenai kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Difahamkan, mesyuarat berkenaan akan bermula pada 8 malam di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya.
Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dijangka turut membincangkan mengenai hasil mesyuarat Perikatan Nasional (PN) malam tadi, yang akan memulakan prosiding tatatertib terhadap BERSATU atas dakwaan melakukan tindakan yang bertentangan dengan kepentingan gabungan berkenaan.
BERSATU, sebelum ini dilaporkan mungkin bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Melaka Ke-16, dengan kedua-dua pihak sudah bertemu dan Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari diberikan amanah meneliti peluang kerjasama berkenaan.









